Syarikat IT baharu diseru perluaskan pasaran melampaui pasaran domestik

March 12, 2010 |

(Utusan Borneo Sarawak, Friday, 12 March 2010 – Business & Finance – Page, 12 )

HAMBURG (JERMAN): Syarikat teknologi maklumat tempatan (IT) yang baharu dan yang baharu diwujudkan digalakkan berkembang
melangkaui sempadan negara ini kerana wujud potensi pasaran yang sangat besar.

Ini terbukti dari penyertaan sembilan syarikat tempatan di CeBIT, iaitu pameran perdagangan terbesar di dunia bagi penyelesaian IT digital dan telekomunikasi bagi rumah dan persekitaran tempat kerja.

Kesemua syarikat itu meraih jualan RM70.530 juta di pameran CeBIT selama lima hari yang diadakan mulai 2 Mac di Hannover, Jerman.

Konsul Perdagangan / Pesuruhjaya Perdagangan Kanan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Sabri Abdul Rahman berkata CeBIT adalah platform terbaik bagi syarikat-syarikat IT yang baharu bermula.

“Mereka digalakkan keluar negara untuk mendapatkan pembeli. Mereka mungkin tidak berani atau tidak tahu ke mana hendak ditujui selama ini,” katanya kepada Bernama Rabu. MATRADE menganjurkan penyertaan Malaysian pada CeBIT tahun ini pada peringkat pavilion nasional.

Empat daripada syarikat itu ditaja oleh Cyberview, iaitu AKRIZ Sdn Bhd, Motiofixo Sdn Bhd, Rapid Matrix Sdn Bhd dan Fabtronic Sdn
Bhd. Yang lain ialah Cyberview sendiri, Celframe Dynamics Sdn Bhd, Strategic Petro Sdn Bhd, ZPMC Techcon Sdn Bhd dan Basis Bay Sdn Bhd.

Sambil mendapat pendedahan di pasaran Jerman, Sabri berkata CeBIT turut mendedahkan mereka kepada seluruh Eropah dan global. “Kita terlibat di dalam persaingan IT dunia. India kini telah teguh dan China sedang meningkat naik.”

“Ekonomi global dijangka bertambah baik daripada tahun lepas dengan keyakinan pengguna yang lebih tinggi. Dengan itu, kita jangan hadkan pasaran. Kita sepatutnya memasuki ke pasaran berkenaan.” Kumpulan sasaran utama CeBIT ialah pengguna dari industri itu, sektor pemborongan/peruncitan, perdagangan kemahiran, bank, sektor perkhidmatan, agensi kerajaan, sains dan kesemua pengguna di dalam sektor teknologi.

CeBIT menawarkan satu platform antarabangsa bagi dilakukan perbandingan mengenai trend industri, aktiviti jaringan dan persembahan produk. -Bernama

Comments are closed.