Akademi golf untuk si cilik

May 9, 2010 |

(Sunday Star, Sunday, 9 May 2010 – Mingguan Mstar – Page, 27 )

PEPATAH Melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ sesuai menggambarkan kesungguhan K-Golf Events and Management dan Akademi Golf Airil Rizman mencungkil bakat-bakat baru peserta cilik negara untuk diserapkan ke dalam Sirkit Golf Junior Kebangsaan Excel 2011.

Seramai 52 peserta berusia seawal 4 hingga 16 tahun memeriahkan klinik golf junior yang dianjurkan buat julung kalinya di padang golf Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya menerusi bimbingan daripada beberapa ahli Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (MPGA) seperti Mohd Din Mohd Nor, Andrew Azmin Hassan dan Ahmad Fadali.

Menurut penganjur Klinik Golf Junior, Ku Sairy Ku Din, setiap peserta akan diajar tentang pengenalan asas kepada sukan golf dan bagaimana permainan itu dijalankan selain memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman sebenar beraksi di lapangan hijau.

Bagaimanapun, pihaknya belum lagi memfokuskan latihan secara terperinci dan hanya memperkenalkan teknik asas dalam sukan golf seperti putting dan chipping.

Meskipun baru mahu berjinak-jinak dalam sukan golf, nyata persembahan peserta klinik golf junior itu tidak menghampakan malah gelagat mereka berjaya mencuit hati golongan ibu bapa dan beberapa penonton yang hadir.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Nurul Adriana Mohamad Roshdi berkata, keinginan untuk mencuba perkara baru menyebabkan dia menyertai klinik golf junior itu.

“Memandangkan rakan-rakan di sekolah kebanyakannya fokus dalam acara olahraga, saya ingin mencipta kelainan dengan menyertai sukan golf. Ternyata ia amat mengujakan dan berbeza daripada sukan lain,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar.

Bagi pasangan adik-beradik, Raimi Ridzuan dan Raihana Ridzuan, kedua-duanya menyertai klinik golf itu atas dorongan ayah mereka. Oleh kerana kurang mendapat pendedahan tentang golf, impian untuk mempelajari teknik asas dalam sukan itu akhirnya tercapai menerusi penganjuran klinik golf junior itu.

“Sukan golf agak menarik dan lebih bersifat profesional. Kali pertama bermain golf, saya dapat rasakan perbezaannya. Penganjuran klinik golf junior ini boleh membuka peluang kepada sesiapa saja yang mahu menonjolkan bakat terpendam mereka,” kata Raihana.

Hasil daripada kejohanan mini yang diadakan, lima peserta bertuah diserapkan untuk mewakili pasukan Cyberview atau K-Golf pada kejohanan golf junior kebangsaan tahun depan.

Mereka yang terpilih adalah Abigail Rene, Arina Sufian, Mustoffa Rosli, Mohd Aqil Mohd Nadzrul dan Rafidah Ramlay. Segala perbelanjaan kelima-lima peserta yang terpilih sepanjang kejohanan itu kelak akan ditanggung oleh K-Golf Events and Management.

Comments are closed.