240 murid dari 28 sekolah manfaat ICT

June 24, 2010 |

(Berita Harian, Thursday, 24 June 2010 – Regional Changes – Page, 5)


PELAJAR Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Kluang menjuarai Pertandingan Malaysia Cybergames Festival 2010.

JOHOR BAHRU: Dalam usaha untuk mendedahkan pelajar kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Cyberview Sdn Bhd memberi peluang kepada 240 murid dari 28 sekolah di seluruh negeri ini memanfaat dan meningkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan melalui Festival Permainan Siber.

Pengarah Urusannya, Hafidz Hashim, berkata festival berkenaan antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada murid sekolah rendah mengenai kemahiran yang boleh dipraktikkan dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi, selain mengasah bakat serta kebolehan mereka mendalami bidang berkenaan secara kreatif.

“Permainan di komputer bukan hanya minat dan sekadar hiburan semata-mata, malah is lebih menjurus kepada kebijaksanaan dan kebolehan seseorang mencetuskan idea dan pemikiran masing-masing, selain menggalakkan mereka menjadikan bidang teknologi maklumat dan komunikasi sebagai karier di masa hadapan.

“Kita harap festival ini secara tidak langsung membantu menggalakkan minat mereka dalam bidang berkenaan, selain memberi peluang mempelajari sesuatu teknik secara berkesan.

Apatah lagi, ia turut meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik,” katanya di sini, kelmarin.

Festival di peringkat negeri yang memasuki tahun ketujuh diadakan di Persada Johor, di sini, anjuran bersama Penyelidikan dan Operasi Cybergames Malaysia (MyCore) di mana satu sekolah daripada setiap negeri yang terpilih akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Cyberjaya pada September depan.
Sekolah Kebangsaan Perempuan Kluang, Kluang yang diwakili dua murid tahun empat dan dua murid tahun lima terpilih mewakili Johor di peringkat kebangsaan nanti.

Sementara itu, salah seorang murid, Habsah Abu Bakar Sidek, 11, berkata kemenangan berkenaan adalah berkat kesungguhan mereka dalam memberi tumpuan penuh pada kelas mingguan teknologi komunikasi dan maklumat di sekolah, selain minat mendalam terhadap bidang itu.

“Ini pertama kali saya menyertai pertandingan seperti ini dan mendapati ia sangat menyeronokkan apatah lagi banyak soalan berbentuk Matematik yang menjadi subjek kegemaran saya selain meningkatkan keupayaan dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Seorang lagi, Nur Qistina Afsha Afzan Apandi, 10, berkata selain memberi peluang mengasah teknik di dalam komputer, beliau juga gembira kerana semua permainan menggunakan Bahasa Inggeris sekali gus meningkatkan pemahaman dan tatabahasa.

Comments are closed.