Putrajaya, Cyberjaya model perintis penarafan bandar hijau mesra alam
(Berita Harian, Friday, 11 June 2010 – General News – Page, 6 )
BANGUNAN Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang juga dikenali sebagai Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya menepati konsep bandar hijau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. “Berikutan itu, semua bangunan baru kerajaan akan direka bina untuk mematuhi piawaian bangunan hijau, manakala kecekapan tenaga bangunan kerajaan sedia ada juga akan ditambah baik.
“Sebagai contoh surf teladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya akan dinaik taraf untuk mematuhi penarafan hijau Gold Standard,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga.
“Kerajaan akan memperkenalkan `Feed in Tariff’ dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharui bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharui.
“Garis panduan, piawaian dan undang-undang – berkaitan juga akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
Beliau juga menyeru sektor industri mengambil peluang itu dan menggunakan insentif disediakan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan.
“Kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar termasuk eko-pelancongan yang menyediakan peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat dalam usaha menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara serta merebut peluang daripada permintaan bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau yang semakin meningkat,” katanya.