Permainan siber pupuk minat ICT muda

February 26, 2010 |

(Utusan Malaysia, Friday, 26 February 2010)

IPOH 25 Feb. – Perak muncul negeri pertama menganjurkan Pesta Permainan Siber Rakyat Malaysia 2010 yang diadakan di Bangunan Perdagangan dan Teknologi Perak, Meru Raya di sini baru-baru ini.

Seramai 150 murid membabitkan 20 buah sekolah rendah mengambil bahagian dalam acara yang julung-julung kali diadakan tersebut. Selepas, Perak, acara berkenaan juga akan berlangsung di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Pahang dan Kelantan, sebelum pertandingan akhir peringkat kebangsaan diadakan di Cyberjaya pada Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohd. Zahir Abdul Khalid berkata, usaha mengadakan pesta permainan siber bertujuan mendedahkan minat generasi muda terhadap dunia digital yang semakin berkembang kini.

”Permainan siber adalah sebahagian daripada budaya siber berorientasikan teknologi digital bersifat interaktif yang kini memainkan pengaruh besar dalam masyarakat,” katanya di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin, melalui langkah tersebut, persepsi ibu bapa bahawa permainan siber hanya melalaikan anak-anak akan dapat diperbetulkan.

”Teknologi baru ini merupakan kelengkapan utama budaya digital termasuk permainan siber dan Internet yang memerlukan kebolehan kognitif berbanding bentuk-bentuk teknologi yang lalu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd. Zahir berkata, penggunaan permainan siber begitu sinonim dengan kanak-kanak dan minat itu perlu dipupuk di kalangan mereka sejak awal lagi.

Menurut beliau, kanak-kanak yang mendapat pendedahan awal berpotensi menjadi generasi yang celik siber pada masa depan sekali gus membantu mereka mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Comments are closed.