5,000 sertai Larian Malam Energizer 2010

March 22, 2010 |

(Berita Harian, Monday, 22 March 2010 – Sentral – Page, 5 )


HAFIDZ (dua dari kanan) melihat poster Larian Malam Energizer 2010 di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya

CYBERJAYA: Seramai 5,000 peserta dijangka menyertai Larian Malam Energizer 2010 di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya pada 27 Mac ini.
Pengarah Komersial Energizer Malaysia, Michael Teoh, berkata larian itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak pendaftaran dibuka secara talian pada awal Januari lalu.

Katanya, empat kategori dipertandingkan pada larian itu iaitu bagi kategori 42 kilometer (km), 21km,10km, dan larian secara berkumpulan.
“Cyberjaya menjadi pilihan kami kerana lokasinya yang strategik dan landskap menarik, sekali gus dapat menarik minat orang ramai menyertai pertandingan ini sambil menikmati keindahan suasana malam di sini,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, peserta yang menyertai larian itu juga akan diberikan lampu khas untuk dipasang di kepala bagi memudahkan larian, selain sebagai langkah keselamatan kerana ia diadakan pada waktu malam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Hafidz Hashim, berkata pihaknya amat mengalualukan acara larian itu kerana ia dapat menarik lebih ramai pengunjung khususnya peserta dari luar negara ke Cyberjaya.

“Penganjuran program larian bertaraf antarabangsa di sini adalah satu promosi baik bagi Cyberjaya kerana memberi peluang untuk memperkenalkannya sebagai lokasi hab teknologi, komunikasi dan maklumat terkemuka negara,” katanya.

Justeru, bagi memastikan kelancaran larian, pihaknya dengan kerjasama polis dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS), selain menyediakan kemudahan bas sehingga jam 1.30 pagi kepada peserta yang tidak berkesempatan menaiki Express Rail Link (ERL).

Comments are closed.