400 sertai acara cari harta karun Cyberjaya

May 25, 2010 |

(Berita Harian, Tuesday, 25 May 2010 – Sentral – Page, 6 )

NARILA (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori terbuka.

PUTRAJAYA: Kira-kira 400 peserta menyertai pertandingan mencari harta karun Cyberjaya Treasure Hunt kali keempat anjuran Cyberview Sdn Bhd, di sekitar sini, baru-baru ini.

Dua kategori dipertandingkan iaitu terbuka disertai 70 kumpulan serta tertutup yang disertai 30 kumpulan.

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Hafidz Hashim, berkata pertandingan itu diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali dan meneroka setiap sudut yang menarik di Cyberjaya dan sekitarnya.

“Pertandingan ini bukan saja dapat memperkenalkan keunikan Cyberjaya kepada masyarakat luar, malah memberi

peluang kepada penduduk di sini menghargai serta mendidik mereka mencintai bandar ini kerana menyediakan tempat yang selamat untuk didiami.

“Pertandingan ini juga bertujuan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta dengan cabaran dan halangan yang dirancang penganjur selain memperoleh pengalaman baru di kalangan peserta,” katanya.

Beliau berkata, Cyberjaya sebagai lokasi penganjuran pertandingan berkenaan dilihat sesuai memandangkan bandar itu sangat strategik selain mempunyai pemandangan menarik.

“Dengan kemudahan sedia ada, Cyberjaya menjadi pilihan orang ramai untuk mencari pekerjaan serta menarik minat pelajar dalam dan luar negara melanjutkan pelajaran mereka di institut pengajian yang ada di sini,” katanya.

Bagi kategori terbuka, dimenangi pasukan Wong Chiang Chuen, Claire Chin, Julie Tan, dan Goh Teck Koon serta berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Sementara itu, kategori tertutup dimenangi kumpulan dari Kementerian Kewangan iaitu Sallih Khalil, Ezleezan Othman, Norzahiruddin Amin Husin dan Khairul Anuar.

Comments are closed.