Pemimpin perlu lebih proaktif dekati rakyat

January 30, 2010 |

(Sinar Harian, Saturday, 30 January 2010 – Selangor & KL – Page, 22 )

Barisan pemimpin UM NO dan parti komponen pada Majlis Pelancaran Juara Rakyat

Pemimpin perlu lebih proaktif dekati rakyat

BANDAR BARU SALAK TINGGI- Semua pucuk pimpinan dan anggota masyarakat perlu membuat gerak kerja lebih proaktif bagi meneruskan jasa dan bakti agar rakyat terus mendapat manfaat dalam kepimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, walaupun selama ini UMNO dan Barisan Nasional melakukan pelbagai usaha meningkatkan khidmat secara berterusan, namun usaha itu perlu dilipatgandakan sebagai menghargai rakyat.

“Ini termasuk program Juara Rakyat bagi tujuan menyuntik semangat dan memberi pendekatan untuk berbakti dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurutnya, semua jentera parti dan pihak bertanggungjawab termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan pimpinan di peringkat bawahan perlu mewujudkan suasana sihat di samping bergerak dalam satu pasukan bagi mencapai matlamat Malaysia menjelang tahun 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Juara Rakyat yang diadakan di Pentas Budaya Medan 23 di sini, malam kelmarin.

Pada program tersebut, kira-kira 3,000 penduduk Sepang hadir memeriahkan Pelancaran Program Juara Rakyat termasuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional Sepang iaitu MIC dan MCA.

Turut diadakan, pemberian insentif kepada 176 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2008 bagi seluruh parlimen Sepang. Ia bertujuan menghargai semangat belajar pelajar berkenaan.

Selain itu, Mohd Zin turut menyampaikan sumbangan yang diberikan Cyberview Sdn Bhd selaku pihak berkepentingan di Cyberjaya berjumlah RM36,000 kepada 150 penerima bantuan Kebajikan Masyarakat sebagai salah satu tanggungjawab sosial Cyberview.

Program juara rakyat yang disifatkan sebagai satu inisiatif berterusan sepanjang tahun akan meliputi pelbagai jenis bidang seperti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Program Juara Rakyat dirancang diadakan di setiap daerah mengundi dalam parlimen Sepang dalam usaha mendekati rakyat dan mendekatkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha menjadi juara dalam jiwa rakyat.

Comments are closed.